PENGIKUT

PENDIDIKAN KHAS


PENGENALAN

Program Pendidikan Khas merupakan salah satu program yang telah diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan dibantu oleh Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Hal ini bagi memastikan kanak-kanak berkeperluan khas mendapat pendidikan sewajarnya bagaimana kanak-kanak normal yang menikmati proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Hal ini bertepatan dengan konsep menghormati hak asasi individu, dimana insan berkeperlun khas ini juga tidak diabaikan.

Kanak-kanak berkeperluan khas adalah merujuk kepada kanak-kanak yang memerlukan perhatian dan penjagaan yang berbeza berbanding dengan kanak-kanak normal. Menurut Jamila (2005), kanak-kanak khas berbeza dalam aspek ciri-ciri mental, keupayaan sensori atau deria, keupayaan komunikasi, tingkah laku sosial dan ciri-ciri fizikal. Oleh yang demikian kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan modifikasi atau perubahan dalam aktiviti-aktiviti sekolah ataupun perkhidmatan pendidikan khas bertujuan mengembangkan potensi diri kanak-kanak berkeperluan khas ke tahap yang optimum dan tidak terabai seperti kanak-kanak normal.

Chua & Koh (1992) mendefinisikan kanak-kanak berkeperluan khas atau “kanak-kanak luar biasa” sebagai kanak-kanak yang mempunyai perbezaan yang nyata dari segi kecerdasan, kejasmanian, kemasyarakatan atau pun dari segi rasa hati. Manakala  Garciulo (2003) mendefinisikan kanak-kanak berkeperluan khas seperti kenyataan di bawah;
"Individuals who differ from societal or community standards of normalcy. These differences may be due to significant physical, sensory, kognitif, or behavioral characteristics. Many of these children may require educational programs customized to their unique needs."
Selain itu, Garciulo juga telah mengkategorikan kanak-kanak berkeperluan khas seperti berikut:

i.          Terencat akal.
ii.         Kurang upaya dalam pembelajaran.
iii.        Kecelaruan emosi atau tingkah laku
iv.        Pintar cerdas dan berbakat
v.         Masalah bahasa dan pertuturan
vi.        Masalah pendengaran
vii.       Masalah penglihatan
viii.      Kecelaruan spektrum autism
ix.        Kurang upaya fizikal atau masalah kesihatan

Sheila & Samsilah (2006) mengkategorikan murid berkeperluan khas adalah kanak-kanak yang memerlukan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berbeza daripada murid biasa. Murid berkeperluan khas terbahagi kepada murid bermasalah penglihatan, bermasalah pendengaran dan bermasalah pembelajaran (Maklumat Pendidikan Khas 2003 dalam Sheila & Samsilah 2006).

Kesimpulan yang dapat menerangkan tentang kanak-kanak berkeperluan khas adalah golongan kanak-kanak yang menghadapi ketidakupayaan yang serius sehingga memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan normal  dan pembelajaran serta perkembangan kognitif mereka (Abd. Rahim  2006).

SEJARAH PENDIDIKAN KHAS DI MALAYSIA

Minat terhadap Pendidikan Khas di Malaysia bermula pada tahun 1920an di kalangan sukarelawan yang terlibat dalam pembukaan sekolah-sekolah cacat penglihatan dan pendengaran. Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran melalui Perakuan 169 merupakan satu titik tolak yang membawa kepada satu penekanan dan tumpuan yang lebih jelas kepada perkembangan Pendidikan Khas di Malaysia. Perakuan ini menyebut, "Dengan adanya kesedaran bahawa kerajaan seharusnya bertanggungjawab terhadap pendidikan kanak-kanak cacat adalah diperakukan kerjaan hendaklah mengambil alih sepenuhnya tanggung jawab pendidikan itu dari pihak-pihak persatuan yang mengendalikannya pada masa ini. Disamping itu penyertaan oleh badan-badan sukarela dalam memajukan pendidikan kanak-kanak cacat hendaklah terus digalakkan. "
Perkembangan Pendidikan Khas mengikut jenis adalah seperti berikut:

Pendidikan Masalah Penglihatan

1926
Pembukaan Sekolah Rendah (SRPK) St. Nicholas oleh Gereja Anglican di Melaka

1931
SRPK St. Nicholas berpindah ke Pulau Pinang          

1948
Pembukaan SRPK Princess Elizabeth dengan kemudahan asrama oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di Johor Bahru Pembukaan Institut Berasrama Pusat Latihan Gurney - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)        

1953
Pembukaan Institut Taman Harapan, Pusat Pertanian Temerloh (JKM)     

1958
Pembukaan Institut Taman Cahaya, Pusat Pertanian, Sandakan (JKM)

1962
Rancangan percantuman bagi pendidikan kanak-kanak cacat penglihatan di sekolah rendah dan menengah biasa yang dipilih diperkenalkan

1963
Rancangan percantuman bagi pendidikan kanak-kanak cacat penglihatan di sekolah rendah dan menengah biasa yang dipilih, diperkenalkan   

1977
Permulaan Latihan perguruan Khas dalam bidang cacat penglihatan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras          

1978
Penubuhan Jawatankuasa Utama Pembentukan Kod Braille Bahasa Melayu untuk mengembangkan Sistem Kod Braille Bahasa Melayu

1983
Pembukaan Sekolah Menengah Berasrama Cacat Penglihatan, Setapak
Pengambilalihan SRPK Princess Elizabeth oleh Kementerian Pendidikan sebagai sekolah bertaraf penuh           

1984
Penubuhan Jawatankuasa Kod Braille AI-Quran dan Bengkel Penulisannya bagi tujuan mengembangkan Sistem Kod Braille AI-Quran
Penubuhan Unit Perintis Penerbitan dan Percetakan Braille/Kerabunan, Kementerian Pendidikan untuk menyediakan bahan-bahan dalam braille khususnya buku teks dan penyenggaraan alatan braille

Pendidikan Masalah Pendengaran

1954
Pembukaan kelas pendidikan khas di Jalan Northam, Pulau Pinang         
Pembukaan Sekolah Kanak-Kanak Pekak persekutuan (Rendah dan Menengah), Tanjong Bunga, Pulau Pinang          

1963
Pembukaan kelas-kelas Pendidikan Khas Rancangan. Percantuman Cacat Pendengaran oleh Kementerian pendidikan di sekolah rendah dan sekolah menengah biasa yang dipilih
Permulaan Latihan Perguruan Pendidikan Khas Cacat Pendengaran di Maktab perguruan Ilmu Khas, Cheras          

1978
Pengenalan Kaedah Komunikasi Seluruh oleh Kementerian Pendidikan untuk menggubal sistem Bahasa Melayu Kod Tangan
Penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Komunikasi Seluruh Kementerian pendidikan          

1979
Kursus Dalam Perkhidmatan bagi guru-guru yang mengajar masalah pendengaran dalam Bidang Komunikasi Seluruh 1984 Penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan Kurikulum Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional, Kementerian Pendidikan

1985
Penubuhan Jawatankuasa Kerja Penyelarasan Komunikasi Seluruh, Kementerian Pendidikan untuk perkembangan Sistem Kod Buku Pendidikan Islam
Penubuhan Jawatankuasa Kerja Kecil Kod Dasar Agama Islam
Penubuhan Jawatankuasa Kerja Kecil Kod Dasar KBSR Tahap II Bahasa Malaysia Kod Tangan
Penubuhan Jawatankuasa Kerja Kecil Penggubalan Kod Tangan Pendidikan Vokasional dan Teknikal        

1987
Pembukaan Sekolah Menengah pendidikan Khas Vokasional, Shah Alam

Program Percantuman/Inklusif

1962
Program pereantuman dan inklusif bagi murid-murid cacat penglihatan
dimulakan    

1988
Permulaan kelas perintis untuk murid-murid peringkat bermasalah pembelajaran

1993
Tiga (3) pelajar pendidikan inklusif ditempatkan belajar di Tingkatan 6 Bawah di Sekolah Menengah Methodist (Lelaki), Kuala Lumpur

1994
Pembukaan kelas-kelas program inklusif seeara projek rintis di 14 buah sekolah di seluruh negara           

1995
Program Bermasalah Pembelajaran peringkat menengah dimulakan

Peristiwa Penting yang Mempengaruhi Perkembangan Pendidikan Khas.
Dalam Deklarasi Hak-hak Kemanusiaan Sejagat (1948) meliput hak bagi setiap individu mendapat pendidikan. Perkara ini ditegaskan semula dalam Persidangan Dunia bertemakan “Pendidikan Untuk Semua” di Jomtien, Thailand yang menekankan: Keperluan-keperluan pembelajaran untuk orang kurang upaya menuntut perhatian khusus. Langkah-langkah perlu diambil untuk menyediakan persamaan akses kepada pendidikan untuk semua kategori orang kurang upaya sebagai sebahagian yang sepadu dalam sistem pendidikan. [terjemahan]

Pada tahun 1959. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan Hak Kanak-kanak Sedunia dan antara yang ditegaskan adalah hak kanak-kanak istimewa dimana mereka berhak menapat penjagaan yang khusus dan bimbingan mengikut kecacatan yang dialami serta peluang menjadi seberapa normal mungkin.
Dasar mengenai Pendidikan Khas di Malaysia dinyatakan dalam Akta Pelajaran 1961. Dalam Bahagian 1 (Taksiran) Akta ini dinyatakan bahawa; “sekolah khas bermakna sekolah yang menyediakan layanan pendidikan yang khas unuk muridd-murid kurang upaya”. 

KANAK-KANAK BEKEPERLUAN KHAS

Terdapat pelbagai kategori kanak-kanak berkeperluan khas dan golongan kanak-kanak istimewa ini mestilah dikenal pasti ketidakupayaan mereka bagi memenuhi keperluan perkembangan intelek, emosi, rohani dan jasmani berdasarkan  kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan (Abu Bakar & Ikhsan 2003). Berikut adalah kategori-kategori kanak-kanak berkeperluan khas:

Masalah Penglihatan
Definisi yang dikemukakan oleh The World Council for the Welfare of the Blind dalam Hajah Hasnah (1988) tentang masalah penglihatan adalah seperti berikut:
i.          Tidak dapat melihat langsung.
ii.        Kebolehan melihat tidak lebih daripada 6/60 atau 20/200 iaitu dengan Ujian Snellen.
iii.        Penglihatan yang terhad iaitu kurang daripada 20 peratus.

Masalah Pendengaran
Mohd. Salleh (1999) mendefinisikan kecacatan pengendaran sebagai golongan manusia yang tidak dapat berkomunikasi dan bergaul dengan orang ramai kerana rosak pendengaran. Menurut Hasnah (1988) dalam Mohd. Salleh (1999), cacat pendengaran dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

i.          Cacat Bahagian Penerimaan ( Conductive Deafness)
Kecacatan disebabkan telinga tersumbat, luka pada gegendang telinga atau tidak ada lubang telinga.

ii.         Cacat Bahagian Tanggapan ( Perceptive Deafness)
Kecacatan terjadi disebabkan oleh masalah saraf pendengaran pada bahagian organ dalam telinga.

Tanda-tanda yang menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran adalah kurang memberi perhatian di dalam kelas, kelihatan selalu berkhayal, percakapannya tidak jelas, terkejut apabila dihampiri daripada belakang, tidak memahami arahan yang diberikan dan pencapaian yang lemah terutamanya berkaitan dengan bahasa.
Perkembangan kognitifnya adalah agak lambat disebabkan oleh kelambatan perkembangan bahasa. Bagi perkembangan sosial pula, ia bergantung kepada pengalaman mereka, cara layanan yang diterima dan melalui kebolehan perkembangan mereka sendiri.

Masalah Emosi-Hiperaktif
Menurut Jamilah (2005), hiperaktif adalah istilah yang digunakan untuk kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku yang terlampau aktif dan mengganggu tetapi mempunyai tumpuan yang singkat. Sandra (2008) menjelaskan terdapat dua jenis masalah kanak-kanak kurang tumpuan iaitu Attention Deficit Disorder (ADD) atau masalah kurang tumpuan tanpa hiperaktif dan Attention Deficit Hiperactivity Disorder (ADHD) atau masalah kurang tumuan dengan hiperaktif. Menurut Sandra lagi masalah ADD atau ADHD adalah bersifat fisiologi dan biologi. Bagi Sheila & Samsilah (2006), ADHD adalah satu keadaan diaman kanak-kanak yang mengalaminya mempunyai masalah tingkah laku yang terlampau aktif dan impulsif.

Masalah Fizikal Dan Kesihatan - Palsi Selebral
Terdapat 4 kategori palsi selebral iaitu Palsi Selebral spastik, palsi selebral athetiod, palsi selebral ataxia dan palsi serebral gabungan. Ciri-ciri fizikal pada kanak-kanak palsi selebral spastic ialah masalah ketegangan pada otot-otot tertentu seperti tangan dan kaki. Ketegangan otot ini akan menyebabkan pergerakan otot tersebut menjadi terhad atau tidak berkodinasi. Contohnya jika ketegangan otot berlaku pada kaki, pergerakan permulaan berjalan seakan tersekat-sekat dan diikuti dengan satu lonjakan tenaga menyebabkan pergerakannya kurang terkawal.

Bagi palsio selebral athetiod pula, mereka mempunyai anggota yang lebih meliuk dan tidak terkawal. Manakala bagi palsi serebral ataxia pula, imbangan badan mereka adalah tidak baik di samping pergerakan badan yang tidak berkodinasi.

Palsi serebral gabungan pula adalah mereka yang mengalami lebih daripada satu jenis palsi selebral pada satu-satu masa. Masalah yang dihadapi olehnya adalah otot-ototnya kejang, tidak berkodinasi dan juga meliuk.

Masalah sosial yang dihadapi oleh golongan ini adalah dalam menyesuaikan diri di dalam masyarakat. Disebabkan mereka tidak dapat bertutur dengan baik, mereka berasa rendah diri dan ini akan menjejaskan hubungan mereka dengan persekitaran. Sebab lain yang menyebabkan kanak-kanak ini rendah diri adalah sikap ibu bapa yang terlalu member perhatian dan perlindungan yang melampau menyebabkan kanak-kanak ini langsung tidak diberi peluang untuk mempelajari kemahiran asas bagi penjagaan diri sendiri.

Masalah Mental
i)          Terencat akal
Masalah terencat akal menjadi satu isu yang perlu ditangani kerana murid yang mengalami masalah ini lambat menerima pengajaran di sekolah. Punca seseorang anak itu terencat akal boleh dikaitkan dengan faktor biologi (baka) dan persekitaran. Faktor baka banyak mempengaruhi prestasi intelek seseorang kanak-kanak berbanding dengan faktor persekitaran.

Kanak-kanak ini mempunyai ciri-ciri fizikal yang sama seperti kanak-kanak normal iaitu daripada segi pertumbuhan bahagian-bahagian badan walau bagaimanapun terdapat kekurangan dalam menggunakan motor halus. Kanak-kanak ini lambat menguasai kemahiran motor halus. Oleh itu, ibu bapa atau guru perlulah memantau perkembangan motor halus mereka.

Kanak-kanak ini sering mempamerkan kepayahan untuk memberi tumpuan atau fokus kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, sukar menyiapkan tugasan dan mudah membuat kesalahan disebabkan kecuaian. Mereka juga sering menunjukkan tingkah laku yang sering mengganggu rakan.

Di dalam hubungan sosial dengan rakan-rakan, mereka kurang diterima oleh rakan kerana tidak pandai menyesuaikan diri, kurang matang dan mempunyai masalah dalam menguasai klu-klu sosial yang halus sehingga mereka kerap menyalah tafsir aksi-aksi murid lain. Tingkah laku yang lain adalah menarik rambut, menggigit kuku, tabiat suka mencederakan diri dan meminta ganjaran apabila diminta untuk melakukan sesuatu contohnya jika enggan melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru akan memberikan sesuatu yang disukai murid untuk memujuknya mengikuti aktiviti (Jamila 2005).

ii)         Sindrom down
Ciri-ciri fizikal kanak-kanak ini adalah mata condong ke bawah atau ke atas, belahan kelopak mata pendek dan terdapat lapisan kulit di dalam mata, bentuk muka leper, kepala lebih kecil daripada kebiasaan dan bahagian belakang .kepala rata, telinganya kecil dan berkedudukan rendah, mulut kelihatan kecil dan bibir nipis, bentuk leher lebih pendek, kaki dan tangan pendek, tapak kaki lebar dan jari kaki pendek, mempunyai masalah jantung dan lain-lain lagi.
Daripada segi emosi, kanak-kanak ini dilabelkan sebagai terencat akal sama ada ringan, sederhana, teruk dan sangat teruk. Kanak-kanak Sindrom Down Ringan masih boleh dididik. Menangis merupakan isyarat utama kanak-kanak ini dan mempunyai masalah pendengaran.
Kanak-kanak Sindron Down merupakan kanak-kanak yang manja dan memerlukan perhatian seperti suka dipeluk. Kadangkala mereka mempunyai masalah yang lain iaitu hiperaktif dan masalah tumpuan singkat (Jamila 2005).

Autisme
Menurut Sheila & Samsilah (2006) autism merujuk kepada kecacatan bersosial di mana kanak-kanak yang mengalami autism tidak mempunyai kemahiran berhubung, berkomunikasi dan bersosial dengan orang lain seperti murid normal. Emosi kanak-kanak sangat sukar diramal dan berubah-ubah.

Masalah Pembelajaran
Menurut Mohd. Sharani (2004) masalah kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran adalah kanak-kanak yang mempunyai masalah neurologi hingga menjejaskan pemahaman, penggunaan bahasa, pertuturan, penulisan, berfikir, membaca, menulis, mengeja dan bermatematik.

Lembam (Slow Learner)
Kanak-kanak lembam dikenali sebagai kanak-kanak yang memerlukan pendidikan kelas pemulihan. Selalunya kanak-kanak ini dikenal pasti pada peringkat awal setelah mendapati tidak dapat menguasai kemahiran membaca menulis dan mengira dalam pendidikan. Walau bagaimanapun adalah sukar untuk menyediakan garis pemisah yang jelas di peringkat awal perkembangan kanak-kanak antara kanak-kanak normal dengan kanak-kanak lembam kerana permasalahan mereka tidak begitu ketara. Hanya selepas mereka memasuki alam persekolahan permasalahan mereka dapat dikesan (Jamila 2005).

Menurut Messe (2001) dalam modul Universiti Terbuka Malaysia, keupayaan intelektual kanak-kanak ini berada tahap sederhana iaitu pada tahap 85 atau lebih di dalam skor ujian saringan kecerdasan. Mereka juga mempunyai masalah dalam memberi perhatian, mengumpul atau memproses maklumat yang diterima di dalam ingatan mereka. Di samping itu, kanak-kanak lembam mudah hilang tumpuan, mudah membuat kesalahan akibat kecuaian, sukar untuk menyiapkan tugasan dan kepayahan membuat tugasan yang berturutan. Di dalam mata pelajaran matematik, mereka menunjukkan kesukaran dalam mengingati simbol-simbol yang digunakan dan mengingati turutan proses dalam penyelesaian matematik (Jamila 2005).
Disebabkan masalah kurang tumpuan, sukar memproses maklumat, sukar menyiapkan tugasan dan lain-lain lagi menyebabkan mereka mempunyai masalah sosial-emosi. Tingkah laku kanak-kanak lembam sering mengganggu rakan-rakan.

Disleksia
Definisi terkini disleksia adalah sebagai suatu masalah kognitif ( Thomson 1984 dalam Sheila & Samsilah 2006) Mohd. Sharani (2004) menjelaskan maksud dyslexia adalah kanak-kanak yang tidak dapat membaca kerana tidak dapat menterjemahkan dengan betul lambang-lambang bertulis sama ada dalam huruf itu sendiri, dalam suku kata ataupun dalam perkataan-perkataan.

Secara literalnya, disleksia bermaksud, “kesukaran dalam berbahasa” (Ott 1997 dalam Sheila & Samsilah 2006).  Definisi operasional disleksia yang pertama dikeluarkan oleh World Federation of Neurology  (1968) dalam Sheila & Samsilah (2006) adalah seperti berikut:
“Suatu kecelaruan pada kanak-kanak di mana, meskipun mereka melalui pengalaman bilik darjah konvensional, gagal mengusai kemahiran bahasa seperti membaca, menulis dan mengeja yang selaras dengan kemampuan intelektual mereka.”

Kanak-kanak disleksia tidak dapat mengimbangi daya mengingati huruf dengan perkataan dan menghadapi masalah dalam mengingati bentuk huruf, bunyi huruf dan gabungan perkataan. Antara huruf-huruf yang sering mendatangkan masalah kepada mereka ialah huruf b dan d, dan perkataan yang hampir serupa ejaannya.

Kanak-kanak disleksia adalah lebih lambat perkembangannya berbanding rakan yang sebaya daripada segi umur kronologikal seperti seorang kanak-kanak disleksia berusia tujuh tahun sering berkelakuan seperti kanak-kanak  berusia dua ataupun tiga tahun yang mementingkan diri ( Cronin 1997: ms 111 dalam Sheila & Samsilah 2006).

Perkembangan fizikal, mereka tidak berminat dalam pelajaran dan selalu dilabelkan sebagai pemalas dan bodoh. Pakaian yang dipakai sentiasa bersih tetapi tidak kemas dan butang baju sentiasa salah butang. Mereka juga mempunyai daya pengamatan. pendengaran dan penglihatan yang lemah. Kekeliruan juga timbul di mana mereka sukar untuk membezakan kiri dan kanan.

Pintar Cerdas dan Berbakat
Menurut Jamila (2005), Kanak-kanak pintar cerdas adalah kanak-kanak yang mempunyai kemampuan yang tinggi di dalam akademik. Mereka sering dianggap sebagai murid yang nakal kerana tidak memberi perhatian di dalam kelas sedangkan mereka sebenarnya memahami dan telah menguasai pengajaran guru. Chua & Koh (1992) mendefinisikan kanak-kanak pintar cerdas sebagai kanak-kanak yang menunjukkan atau potensi kebolehan dalaman:

i.          Kegiatan intelek seperti kreativiti, pemikiran abstrak, kemahiran lisan, pemikiran logik dan ingatan baik.

ii.         Bakat-bakat khas dalam bidang-bidang seperti sains, matematik, kepimpinan perhubungan manusia, seni lukis, muzik, penulisan dan drama.

Menurut Ross (1993) dalam modul Universiti Terbuka Malaysia, definisi kanak-kanak pintar cerdas adalah kanak-kanak dikenal pasti semasa prasekolah, sekolah rendah atau menengah menunjukkan bakat atau potensi yang cemerlang dalam pencapaian akademik berbanding kanak-kanak yang sebaya dengan mereka. Mereka juga menunjukkan prestasi yang tinggi dari segi intelek, seni dan mempunyai kepimpinan yang luar biasa

Perkembangan kanak-kanak cerdas pintar ini menunjukkan ciri-ciri luar biasa pada umur yang sangat muda berbanding kanak-kanak biasa. Perkembangan kognitif mereka tinggi dan dapat dikesan semenjak berumur satu tahun dan menunjukkan perkembangan dalam domain yang luas. Mereka memperoleh maklumat dengan menyimpan maklumat dengan cepat dan dengan cekap mengingati semula maklumat. Kanak-kanak ini boleh merancang, memantau dan menilai menggunakan pemikiran advance pada umur yang muda berbanding kanak-kanak lain.

Dari segi emosi, mereka sangat matang berbanding kanak-kanak lain, mudah kecewa dan menghina rasa takut pada usia yang muda serta terlalu sensitif.

No comments:

Post a Comment